Tuesday 15 November 2011

RM0.50 vs RM50.00

Assalamualaikum w.b.t





Pada suatu hari, duit syiling 50 sen bertemu dengan kawan lamanya, duit kertas RM50. Dek terlau sibuk bermusafir ke sana sini, bertukar-tukar tangan, mereka jarang-jarang bersua. Apa tidaknya, wang kertas RM50 itu berjalan sakan, sampailah ke luar negara pun sudah puas dijelajahinya. Duit syiling 50 sen, khidmatnya terbatas pada peringkat domestik sahaja.
Wang kertas RM50 yang baru pulang dari Paris, Perancis ditegur oleh duit syiling 50 sen yang dikenalinya itu di satu pesta beli-belah di ibu kota baru-baru ini.


"Assalamualaikum, kawan. Apa khabar? Lama tak nampak?"
"Wa'alaikumsalam. Alhamdulillah, sihat walafiat. Tapi, penat sikitlah," jawab wang kertas RM50 dengan ringkas.
"Kenapa pula penat, kawan?"
"Aku ni, serata dunia aku pergi. Singapura, Indonesia, Eropah, Amerika dan macam-macam tempat lagi. Masuk hotel, pawagam, pasar raya, dan banyak lagilah. Hah, kau pula macam mana? Lama juga tak nampak." Giliran wang kertas RM50 pula bertanya khabar duit syiling 50 sen.
"Huh, aku macam tu lah jugak. Sibuk memanjang. Masuk masjid, tandas awam, kedai runcit. Keluar tandas awam, masuk masjid balik. Aku ni tak macam kau. Tak sempat pun merasa pergi ke luar negara."
"Ooh, begitu rupanya."




Mereka diam seketika. Sambil itu, mereka memandang gelagat manusia yang sedang ghairah dan berebut-rebut membeli-belah. Alah membeli menang memakai lah tu.

"Eh, kau bila nak lagi nak masuk masjid?" tiba-tiba wang syiling 50 sen bertanya memecahkan kesepian. Wang kertas RM50 menoleh memandang ke arah kawannya itu, kelu seketika.
"Kenapa kau tanya aku pula? Sepatutnya soalan tu kau ajukan kepada manusia di sana."
Serentak mereka tersenyum-senyum kambing.


PENGAJARAN

Apabila ingin menderma di masjid, jangan hanya memberi duit syiling sahaja. Jangan samakan nilai sedekah yang ingin diberikan dengan nilai untuk menggunakan tandas awam.
Apa salahnya jika sekali-sekala kita hulurkan pula duit kertas.
Lebih nilai, lebih pahala.
Apa tunggu lagi? 
Mulakannya hari ini!!




Bersama-sama Mengubah Paradigma
Ke Arah Mukmin yang Sejati..=)


No comments:

Post a Comment