Tuesday 20 March 2012

Dulu Kita Gemilang, Kini...

Assalamualaikum w.b.t

Entri ini sepatutnya ditulis setahun yang lalu, selepas Konvensyen Memperingati 500 Tahun Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka 1511 (KEMM 1511) berlangsung. Tidak mengapa, yang penting saya dapat menulis entri.



KEMM 1511 berlangsung pada 29 Januari 2011 bertempat di Dewan Besar UTeM, Durian Tunggal, Melaka. Konvensyen ini diajurkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA Malaysia) dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) disertai oleh 3600 peserta. Konvensyen ini bertemakan "Melayu Sepakat, Islam Berdaulat".

Konvensyen ini banyak membincangkan membincangkan mengenai jati diri masyarakat Melayu yang pada ketika dahulu, kita pernah mencapainya sehingga mendapat pengiktirafan dunia. Kita pernah mencapai zaman kegemilangan semasa zaman kegemilangan kerajaan Kesultanan Melayu Islam Melaka. Pada ketika itu, syariat Islam berjaya ditegakkan. Buktinya, Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka diambil 100% daripada al-Quran dan as-Sunnah

Namun, kegemilangan Melaka tidak kekal bertahan lama akibat kerakusan kuasa Barat yang inginkan kekayaan. Rentetan daripada peristiwa kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka, ia menjadi cabaran kepada jati diri Masyarakat Melayu. 

Jika jati diri Melayu tergugat, kemungkinan Islam tidak dapat disebarkan.

Oleh yang demikian, saya ingin mengajak ikhwah dan akhwat sekalian untuk sama-sama menghayati Pidato Kegemilangan Melaka, yang telah disampaikan oleh Saudara Badrul Sani



Bismillahirrahmanirrahim...


Melaka..
Melaka, Melaka.

Suatu saat, suatu ketika
Dirimu tersohor, namamu harum
Bumimu terkenal
dengan kisah-kisah agung Empayar Melayu Islam Melaka.

Rakyatmu hidup aman, 
sejahtera, kaya-raya.
Bahasa Melayu diangkat menjadi lingua franca,
Membasahi lisan masyarakat Asia, 
dan para pedagang dari timur dan barat, selatan, utara.

Jong-jong Melayu kala itu
jauh meninggalkan kehebatan kapal-kapal Portugis,
sehingga ada yang sudahpun berlabuh di Madagascar.

Undang-undang pun ditunjangi syariat,
dijelaskan menerusi Hukum Kanun Melaka,
dan Undang-undang Laut Melaka.

Islam, menjadi cara hidupmu.
Mantapnya peribadimu wahai Melaka,
sehinggakan sarjana Barat pernah mendakwa,
"Barangsiapa menguasai Melaka, maka dia menguasai Venice."

Kehebatanmu tidak tertanding.
Sukar ditanding.
Mustahil, dipandang-pandang.



Namun,
Seribu lima ratus sebelas (1511),
dunia menyaksikan sebuah Empayar Islam tumbang.
Dimamah dan diratah,
oleh kerakusan tentera-tentera Kuffar Laknatullah.

Serangan demi serangan dilakukan,
generasi demi generasi dihancurkan.
Dihancurkan mindanya,
dihancurkan identitinya,
dihancurkan maruahnya.

Hari ini Melayu lebih mengagungkan teori peperangan Tsun Zu,
berbanding prinsip Tun Perak.
Melayu lebih gemar memetik bicara Winston Churchill,
daripada belajar kepimpinan Sultan Alauddin Riayat Syah.

Hari ini Melayu lupa,
hari ini Melayu alpa,
ramai yang kejarkan dunia sehingga maruah bangsa
dirobek, dan dihina.

Siapa juara menagih dadah?
MELAYU..

Siapa juara membuang bayi?
MELAYU..

Merempit, mencuri, berzina, rasuah, gay, lesbian, sumbang mahram..
Siapa juaranya?!
Kalau bukan MELAYU..

Hari ini kita tidak perlu meredah belantara untuk mencari musuh,
kerana musuh sudahpun berada bersama kita.
Mereka sudah berbangsa Melayu,
berbahasa Melayu, tetapi mereka
PENGKHIANAT MELAYU!
PENGKHIANAT NEGARA!
PENGKHIANAT AGAMA!



Bangun wahai orang Melayu! Bangun!

Kita hadir di sini bukan untuk menangisi kekalahan.
Kita juga hadir bukan untuk dibuai
sejarah kegemilangan.

Ya!
500 tahun dahulu memang,
kita tersungkur di bumi.
Tetapi,
adakah kita memerlukan 500 tahun lagi untuk bangun?!

Usah berjalan di bumi sendiri 
seperti lembu dicucuk hidung.
Hidup,
bak melukut di tepi gantang.

Kita dilahirkan wira,
kita hidup wira, mati juga sebagai wira.

Kita mula bangkit bersama,
berjuang bersama,
Gunung sama kita daki, lurah sama kita turuni.
Berat sama kita pikul, ringan sama kita jinjing.
Hati kuman sama kita cecah, hati gajah sama kita lapah.

Biar seribu busur di hadapan,
kita serbu bak badai menggila.
Kita genggam bara api sampai jadi arang,
Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

Bangun wahai Melayu! Bangun!

Jangan dipersiakan pengorbanan nenek moyangmu!
Jangan dimalukan asal keturunanmu!

Bangun Melayu! Bangun!

Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air.
Apa yang kita tunggu lagi wahai Melayu?!
Mara ke depan!
Biar kita mati sebagai pejuang,
dan hidup bernafas sebagai kuang!


Ya Allah! Ya Allah! 
Pinjamkan kami keberanian Umar al-Khattab!
Kecekalan Tariq bin Ziyad!
Kekentalan Salahudin al-Ayyubi!
dan ketajaman Sultan Muhammad al-Fateh!

Bantu umat Melayu Islam, Ya Allah!

MELAYU SEPAKAT, ISLAM BERDAULAT !
TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA !

TAKBIR !  ALLAHUAKBAR (3x)

Sekian, assalamualaikum.




Diharap konvensyen dapat menyedarkan kita betapa pentingnya kita memperkasakan Melayu supaya syariat dapat ditegakkan sebagaimana yang telah berlaku pada zaman kegemilangan Melaka.

Bersama-sama Mengubah Paradigma
Ke Arah Mukmin yang Sejati..=)


No comments:

Post a Comment