Tuesday 20 March 2012

Dulu Kita Gemilang, Kini...

Assalamualaikum w.b.t

Entri ini sepatutnya ditulis setahun yang lalu, selepas Konvensyen Memperingati 500 Tahun Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka 1511 (KEMM 1511) berlangsung. Tidak mengapa, yang penting saya dapat menulis entri.



KEMM 1511 berlangsung pada 29 Januari 2011 bertempat di Dewan Besar UTeM, Durian Tunggal, Melaka. Konvensyen ini diajurkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA Malaysia) dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) disertai oleh 3600 peserta. Konvensyen ini bertemakan "Melayu Sepakat, Islam Berdaulat".

Konvensyen ini banyak membincangkan membincangkan mengenai jati diri masyarakat Melayu yang pada ketika dahulu, kita pernah mencapainya sehingga mendapat pengiktirafan dunia. Kita pernah mencapai zaman kegemilangan semasa zaman kegemilangan kerajaan Kesultanan Melayu Islam Melaka. Pada ketika itu, syariat Islam berjaya ditegakkan. Buktinya, Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka diambil 100% daripada al-Quran dan as-Sunnah

Namun, kegemilangan Melaka tidak kekal bertahan lama akibat kerakusan kuasa Barat yang inginkan kekayaan. Rentetan daripada peristiwa kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka, ia menjadi cabaran kepada jati diri Masyarakat Melayu. 

Jika jati diri Melayu tergugat, kemungkinan Islam tidak dapat disebarkan.

Oleh yang demikian, saya ingin mengajak ikhwah dan akhwat sekalian untuk sama-sama menghayati Pidato Kegemilangan Melaka, yang telah disampaikan oleh Saudara Badrul Sani



Bismillahirrahmanirrahim...


Melaka..
Melaka, Melaka.

Suatu saat, suatu ketika
Dirimu tersohor, namamu harum
Bumimu terkenal
dengan kisah-kisah agung Empayar Melayu Islam Melaka.

Rakyatmu hidup aman, 
sejahtera, kaya-raya.
Bahasa Melayu diangkat menjadi lingua franca,
Membasahi lisan masyarakat Asia, 
dan para pedagang dari timur dan barat, selatan, utara.

Jong-jong Melayu kala itu
jauh meninggalkan kehebatan kapal-kapal Portugis,
sehingga ada yang sudahpun berlabuh di Madagascar.

Undang-undang pun ditunjangi syariat,
dijelaskan menerusi Hukum Kanun Melaka,
dan Undang-undang Laut Melaka.

Islam, menjadi cara hidupmu.
Mantapnya peribadimu wahai Melaka,
sehinggakan sarjana Barat pernah mendakwa,
"Barangsiapa menguasai Melaka, maka dia menguasai Venice."

Kehebatanmu tidak tertanding.
Sukar ditanding.
Mustahil, dipandang-pandang.



Namun,
Seribu lima ratus sebelas (1511),
dunia menyaksikan sebuah Empayar Islam tumbang.
Dimamah dan diratah,
oleh kerakusan tentera-tentera Kuffar Laknatullah.

Serangan demi serangan dilakukan,
generasi demi generasi dihancurkan.
Dihancurkan mindanya,
dihancurkan identitinya,
dihancurkan maruahnya.

Hari ini Melayu lebih mengagungkan teori peperangan Tsun Zu,
berbanding prinsip Tun Perak.
Melayu lebih gemar memetik bicara Winston Churchill,
daripada belajar kepimpinan Sultan Alauddin Riayat Syah.

Hari ini Melayu lupa,
hari ini Melayu alpa,
ramai yang kejarkan dunia sehingga maruah bangsa
dirobek, dan dihina.

Siapa juara menagih dadah?
MELAYU..

Siapa juara membuang bayi?
MELAYU..

Merempit, mencuri, berzina, rasuah, gay, lesbian, sumbang mahram..
Siapa juaranya?!
Kalau bukan MELAYU..

Hari ini kita tidak perlu meredah belantara untuk mencari musuh,
kerana musuh sudahpun berada bersama kita.
Mereka sudah berbangsa Melayu,
berbahasa Melayu, tetapi mereka
PENGKHIANAT MELAYU!
PENGKHIANAT NEGARA!
PENGKHIANAT AGAMA!



Bangun wahai orang Melayu! Bangun!

Kita hadir di sini bukan untuk menangisi kekalahan.
Kita juga hadir bukan untuk dibuai
sejarah kegemilangan.

Ya!
500 tahun dahulu memang,
kita tersungkur di bumi.
Tetapi,
adakah kita memerlukan 500 tahun lagi untuk bangun?!

Usah berjalan di bumi sendiri 
seperti lembu dicucuk hidung.
Hidup,
bak melukut di tepi gantang.

Kita dilahirkan wira,
kita hidup wira, mati juga sebagai wira.

Kita mula bangkit bersama,
berjuang bersama,
Gunung sama kita daki, lurah sama kita turuni.
Berat sama kita pikul, ringan sama kita jinjing.
Hati kuman sama kita cecah, hati gajah sama kita lapah.

Biar seribu busur di hadapan,
kita serbu bak badai menggila.
Kita genggam bara api sampai jadi arang,
Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

Bangun wahai Melayu! Bangun!

Jangan dipersiakan pengorbanan nenek moyangmu!
Jangan dimalukan asal keturunanmu!

Bangun Melayu! Bangun!

Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air.
Apa yang kita tunggu lagi wahai Melayu?!
Mara ke depan!
Biar kita mati sebagai pejuang,
dan hidup bernafas sebagai kuang!


Ya Allah! Ya Allah! 
Pinjamkan kami keberanian Umar al-Khattab!
Kecekalan Tariq bin Ziyad!
Kekentalan Salahudin al-Ayyubi!
dan ketajaman Sultan Muhammad al-Fateh!

Bantu umat Melayu Islam, Ya Allah!

MELAYU SEPAKAT, ISLAM BERDAULAT !
TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA !

TAKBIR !  ALLAHUAKBAR (3x)

Sekian, assalamualaikum.




Diharap konvensyen dapat menyedarkan kita betapa pentingnya kita memperkasakan Melayu supaya syariat dapat ditegakkan sebagaimana yang telah berlaku pada zaman kegemilangan Melaka.

Bersama-sama Mengubah Paradigma
Ke Arah Mukmin yang Sejati..=)


Saturday 17 March 2012

Pemuda Tunjangnya...

Assalamualaikum w.b.t..

Perbincangan hari ini, tentang PEMUDA. Kenapa pemuda sangat penting? Ini jawapannya.

Pemuda Tunjang Agama, Bangsa dan Negara


Akar Tunjang


Bagi setiap pokok ada akarnya, bagi setiap rumah ada tiangnya, bagi setiap tamadun ada kekuatannya, bagi setiap sesuatu ada tunjangnya, begitu jugalah tunjang bagi sebuah umat, ia terletak pada pemudanya.

Ya, pemudanya.



Bahasa dan Makna



Ibnu Manzur dalam kitab terkenalnya Lisan Arab menyatakan makna di sebalik pemuda atau kalimah arabnya As- Syabab , berkisar pada pengertian – pengertian kepimpinan , kekuatan , kegembiraan , kemuncak , dan keaktifan . Hal ini memberi tanda betapa besarnya potensi yang dimiliki oleh golongan pemuda . Betapa uniknya sifat yang dimiliki oleh pemuda yang tidak dimiliki oleh golongan kanak – kanak dan orang tua .

Bukan sekadar pada pengertian bahasa , malah Al Quran dan Hadith juga menyentuhnya secara langsung:


“Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk “


Sabda Rasulullah SAW :


“..Aku dimenangkan oleh pemuda..”



Mereka adalah pemuda beriman .
Lalu, Allah menambahkan petunjuk dan jalan kemenangan .
Maka, menanglah sebuah perjuangan .

Segalanya ini menyimpulkan kepada kita sebuah formula mudah; Sesebuah perjuangan tidak akan berjaya tanpa ditunjangi oleh kelompok pemuda yang beriman dengan perjuangan tersebut.

Letaklah di hadapan kita segunung emas untuk membiayai projek – projek kebangkitan umat sekalipun, letaklah di hadapan kita timbunan srategi dan perancangan sekalipun, letaklah di hadapan kita idea – idea setinggi langit mana pun, segalanya hanyalah debu – debu yang berterbangan, melainkan bersama dengan kita seorang pemuda.


Kami yakin, perjuangan kami hanya kerana Allah SWT


Mereka Istimewa


Di dalam Kitab Muqaddimah karangan agung ulama sosiologi Abd Al-Rahman Ibn Muhammad Ibn Khaldun menyebut bahawa kekuatan sebuah tamadun, bergantung kepada kekuatan Assabiyah sebuah kaum dan kekuatan tentera dalam mempertahankan kedaulatannya. Kedua-dua tergabung dalam jiwa pemuda .

Pemudalah kunci utama yang membuka pintu – pintu kebangkitan , seperti kata – kata Imam Syahid Hasan Al Banna :


“Pemuda di setiap umat adalah kunci kebangkitannya”


Mantiq pemuda membawa kita kepada suatu simpulan natijah; jika rosak pemuda maka rosaklah juga bangsanya.

Namun, kerana ianya sebuah kunci , maka ia menentukan titik jatuh naik sesebuah umat dan bangsa. Kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia mengajar kita pengajaran berguna, di mana aset pemudanya dilalaikan dengan syahwat, hiburan yang melampau, juga keduniaan yang memasuki hati telah setelah lama diracuni. Tamadun yang hebat suatu ketika dahulu telah pun tiada dek kerana kisah duka aib yang melanda pemudanya, berterusan di serang dari berbagai arah.


Putus Asa


Kadangkala membuat kita mudah berputus asa, tunduk dengan serangan, llalu mengikut arus membawa kita entah ke mana, tanpa sedar mengikut agenda musuh, terpedaya dengan slogan-slogan palsu maka menurutinya dengan semangat palsu. Umat seolah tiada maruah, lesu tidak bermaya, kelu tidak berkata, tertipu dengan habuan dunia, termakan hujah batil si penjajah, kita diatur dan bukan pengatur. Kita seolah terlupa sabda baginda :


“Andaipun engkau tahu bahwa besok itu kiamat dan ditanganmu engkau masih memegang benih tanaman, maka tanamlah!”


Kalam Imam As-syahid Imam Hasan Al-Banna :

“Ketahuilah wahai saudaraku, sesungguhnya kita bukanlah mereka berputus asa dengan dirinya sendiri bahkan kita mendambakan kebaikan yang bertambah..”



Harapan


Bukankah Allah mengurniakan umatnya pilihan, berusaha menentukan masa depan, menjadikan dirinya hamba bersama Al-Quran, positif akal, suci naluri, bergerak dengan ruh kehambaan, mendambakan keredhaan di setiap usaha yang diberi.

Tidaklah umat ini terus dihina, kerana masih ada di sana cahaya. Siapa lagi yang ingin diharapkan kalau bukan kita wahai para pemuda. Syair Abu Qasim Asyabani Attunisi berbunyi :


Jika pada suatu hari, satu bangsa menginginkan kehidupannya,

Maka harus segera disambut semampunya;

Kerana malam itu pasti berlalu,
Sebagaimana belenggu pasti akan hancur..




Tekad


Usaha itu patut bermula, hilangkan keraguan dan terus berusaha membina pemuda.
Sabda baginda :


“Tinggalkan apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak kamu ragui.”



Inilah prinsip yang diajar baginda kepada umatnya, lalu menjadi titipan di bibir pendakwah agung Turki, Said Baizzuman Said Nursi, kerana itulah prinsipnya, di atas kebenaranlah beliau berjuang, kemudian pergi menemui tuhannya.


Maka kuatkanlah tekadmu wahai sang pemuda. Mulakanlah episod pemuda itu dalam dirimu, kerana itulah jawapan terbaik buat umatmu.


Bak sebuah Syair :


Cahaya itu bagaimana ia menyinar, jika bukan darah kita bahan bakar ..

Dan Al-Quds itu bagaimana dikembalikan jika bukan kita tenteranya ..



Sumber: Laman Web ISMA Mesir


Bersama-sama Mengubah Paradigma
Ke Arah Mukmin yang Sejati..=)

Friday 16 March 2012

Bingkisan Buat SYRIA..:)




SYRIA 
( CREDITS TO MY LOVELY JUNIOR, AKH AHMAD SYUKRI AHMAD..MAY ALLAH'S MERCY ON YOU)






Kepada : Anak-anak kecil , wanita-wanita , orang-orang tua , ulama'-ulama' , mujahidin dan syuhada' di Syria .


Assalamualaikum w.b.t saudara-saudara kami yang masih dalam kasih dan cinta Allah.
Daripada kami , saudara-saudara Islam-mu di Malaysia.



Wahai saudara-saudara kami di Bumi Syria ,
ketahuilah bahawa kami ini terlalu lemah.
Dalam kalangan kami,ramai masih leka,tuli dan buta.
Mereka mudah melupakan seruan kalimah tauhid, "La ilah ha illallah"
Mereka telah memekakkan telinga mereka daripada mendengar rintihan antum di Syria,jua di Palestin,Iraq,Afghanistan dan Mesir.


Dalam kalangan kami,masih ramai yang tidur dan lena.
Kala antum berjuang menumbangkan rejim zalim ,

Dalam kalangan kami , masih liat dan susah mahu bangun di kala Subuh.
Apabila terdengar seruan Azan , selimut di kaki terus ditarik , menyambung mimpi indah mereka.
Mereka tutup pintu hati mereka serapatnya ketika peringatan mahu sampai kepada mereka.
Ketika tazkirah beralun di keheningan Subuh , mereka terus berlengah dan berlenggang mempersiapkan diri mahu menuntut ilmu.

Mereka itulah syabab yang antum harapkan mahu membantu antum.
Mereka itulah syabab yang ad-Din harapkan untuk membina ummah.


Wahai saudara-saudara kami yang dicintai kerana Allah di Syria,
Ampunkanlah dan maafkanlah kami kerana terlalu hina dan cerca.
Kami khilaf dan culas tentang antum.
Kami leka dan alpa tentang antum.
Kami biarkan antum berjuang,diseksa dan ditindas di sana.
Redhakanlah kami.
Kami abaikan tanggungjawab menjaga ummah.
Kami rela membuka aib dalam kalangan kami daripada membuka aib kafir dan musyrik.


Kami terlalu selesa,bahagia,tersenyum riang dan gembira bersama jawatan PENGAWAS,PRS,BADAR,BAPENA,PSS,KETUA DORM,KETUA KELAS,PENGERUSI PELBAGAI KELAB DAN PERSATUAN. Bahkan kami berbangga dengan KLUSTER KECEMERLANGAN kami dan PRESTASI TINGGI kami.

Kami tampil hebat,gah dan megah bersama pakaian-pakaian rasmi kami. Blazer,vest,tali leher,baju kemeja dan seangkatan dengannya.


Muslimat kami,sibuk dengan shawl,pashmina,tudung indon dan bermacam-macam lagi aneka "pembalut aurat" yang digayakan.
Lantas, kami abaikan antum di sana.
Yang bersatu dan bersama menuntut keadilan.

Maafkan kami,Syria.


Wahai pejuang-pejuang panji Allah yang dijaga,
Kalau antum di sana,
anak-anak kecil turut sama berjuang.
Kami di sini,
anak-anak kecil berjuang merebut gelaran "Idola Kecil"
Kalau antum di sana,
syabab-syabab Muslim bersatu-padu membedil tentera Bashar Al Assad,
Kami di sini,
syabab-syabab Muslim sedang beradu dan berentap merebut "Johan di LITAR HARAM",
syabab-syabab Muslim sedang bergandingan melakukan "fogging" membanteras Denggi bersama puntung-puntung rokok mereka. Hebat bukan ?
Kalau antum di sana,
muslimat berjuang bersama hijab dan jubah hitam.
muslimat turut mengangkat senjata dan bertakbir.
Kami di sini,
muslimat terlalu sibuk.
Stokin yang melindungi kaki pun mereka terlupa pakai.
Seluar mereka terlalu ketat, kerana kain dah habis mungkin.
Baju-baju mereka,terpaksa mereka pinjam baju adik-adik kecil mereka.
Mereka lupa bahawa telekung yang mereka pakai semasa solat,
itulah pakaian sebenar muslimat.


Kalau antum di sana,
ulama'-ulama' bergandingan,bersatu hati,fikiran,matlamat dan tindakan.
Kami di sini,
ulama'-ulama' sibuk bertikam lidah.
Ulama' saling bergaduh memberikan fatwa.
Ulama' saling mengkafir dan membodohkan sesama mereka.
Ulama' tamakkan harta dan kuasa.


Kalau antum di sana,
semuanya mampu menjadi mujahid dan syuhada'.
Kami di sini,
tewas dengan harta dan kuasa.
Seruan MENANG ATAU SYAHID ,
janggal dan aneh bagi kami.


Wahai rakyat di Bumi Syria,
Percayalah bahawa akan hadirnya kemenangan buat antum.
Yakinlah bahawa bantuan Allah akan ada.
Di sini,
kami sedang membina ummah.
bukan ummah yang mampu mengangkat senjata.
Kami bina ummah yang memiliki jiwa.

Kenapa?

Sesiapa pun mampu mengangkat senjata.
Bahkan senjata rejim Laknatullah lebih dahsyat.

Tetapi,

kita mahu membina ummah yang besar jiwanya.
Ummah yang terpahat kukuh seruan MENANG atau SYAHID.
Ummah yang tiada gentar di hatinya, selain kalimah LA ILAH HA ILLALLAH MUHAMMAD RASULULLAH.
Ummah yang sehebat tentera Nabi Muhammad,
Ummah yang semulia tentera Khalid Al-Walid,
Ummah yang gagah bak tentera Salahuddin Al-Ayubi,
Ummah yang soleh,beriman dan bertakwa seperti Tentera Al-Fateh.


Maka kami mulakan,
menjaga Solat 5 Waktu kami secara berjemaah,
kami pastikan Solat Qabliyah dan Ba'diah kami terpelihara,
kami menjaga Solat Duha kami,
kami pelihara Syariat Islam,
kami bangun di waktu malam,ketika orang kafir sedang tidur.
kami menghayati dan memahami Islam.
kami menjunjung Al-Quran dan Sunnah.


Wahai ahli-ahli jannah ,
Akhir bicara daripada kami,
Allah ada bersama kami.
Allah ada bersama antum.
Allah memang bersama kita.
Hanya Qunut Nazilah yang mampu kami sampaikan kepada antum.
Pengganti bom,peluru berpandu,m16 dan pistol.
Qunut Nazilah sebagai pengganti kehadiran kami berarak dan bersatu menuntut keadilan.
Semoga Allah makbulkan doa kita.


Saudara-saudaraku di Syria.
Semoga Allah kuatkan hati kita
dan menemukan kita di Jannah.



Wassalamualaikum w.b.t


6.40 PM
GMT +8
15/3/2012
22 RabiulAkhir1433 H
Khamis
Segamat, Johor.


p/s : Bingkisan ini , memang tidak akan sampai ke Syria. Tetapi Insya-Allah sampai kepada anda,
saudara-saudara saya di Malaysia.

Bangun dan sedarlah !
Jazakumullah kerana sudi membaca.










Bersama-sama Mengubah Paradigma
Ke Arah Mukmin yang Sejati..=)